Aravan  (kanan) dan Mohanraj  menunjukkan laporan polis yang dibuat mereka.
Aravan (kanan) dan Mohanraj menunjukkan laporan polis yang dibuat mereka.
Oleh Shamsul Munir Safini


Juru: Diugut dicederakan sebelum permit kerja dibuang kerana enggan memasak makanan kitar semula. Itu nasib dua pekerja warga India yang mendakwa ditindas majikan yang juga pengusaha sebuah restoran makanan India di negeri ini sejak Julai tahun lalu.

S Aravan, 32, dan rakannya, N Mohanraj, 20, juga mendakwa tidak dibayar gaji lebih empat bulan selain hanya diberi makan nasi dengan kuah dan sayur pada jam 4 petang dan 12 tengah malam setiap hari.

Nasib kedua-dua lelaki warga asing itu mendapat perhatian Persatuan Veteran India Angkatan Tentera Malaysia Pulau Pinang (PVIATMPP) yang menyalurkan masalah mereka kepada Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia sebelum mereka diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia.

Timbalan Yang Dipertua PVIATMPP R Kalidas berkata, kesengsaraan pekerja terbabit diketahui selepas menerima aduan mereka sebelum dinasihatkan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa mendakwa mula bekerja di restoran itu pada Jun dan Julai tahun lalu dengan masing-masing dijanjikan gaji RM1,200 dan RM1,000.

“Mereka mendakwa menerima gaji kurang daripada dijanjikan, selain tidak dibayar tunggakan gaji beberapa bulan.

“Selain itu, Aravan yang juga tukang masak di restoran itu diugut supaya memasak makanan yang tidak habis untuk dikitar semula menyebabkan dia diturunkan pangkat kepada pembantu tukang masak selepas enggan berbuat demikian.

“Selain mereka berdua, beberapa lagi pekerja di restoran sama didakwa menerima nasib sama tetapi tidak mempunyai peluang untuk menyelamatkan diri,” katanya pada sidang media, semalam.

Aravan mendakwa, selain tidak dibayar gaji lebih empat bulan, bayaran kerja lebih masa juga tidak dibayar selain tidak diberikan cuti rehat sehari seminggu seperti ditetapkan undang-undang pekerja.

“Susulan itu, pada 14 Disember tahun lalu, saya melarikan diri ke Balai Polis Jawi selepas berlaku pergelutan dengan majikan yang memaksa saya menurunkan tandatangan pada resit baucar gaji kosong yang tidak diisi.

“Saya tidak puas hati kerana majikan seakan-akan mahu menipu sebelum saya bertanyakan mengenai tindakan itu, namun dia (majikan) hanya diam dan memaksa saya menurunkan tandatangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:10 AM