BEKAS kakitangan akhbar berbahasa Tamil membuat laporan polis berikutan majikan gagal membayar gaji di IPD Gombak. FOTO SALHANI IBRAHIM
BEKAS kakitangan akhbar berbahasa Tamil membuat laporan polis berikutan majikan gagal membayar gaji di IPD Gombak. FOTO SALHANI IBRAHIM
Mohd Azam Shah Yaacob


Seramai 40 bekas pekerja sebuah akhbar tempatan berbahasa Tamil membuat laporan polis, hari ini, selepas mendakwa tidak menerima bayaran pampasan dijanjikan majikan susulan penutupan akhbar itu pada 30 Januari lalu.

Malah, laporan polis itu juga dibuat berikutan mereka mendakwa sebelum akhbar itu ditutup, bekas majikan tidak membayar wang caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Wakil pekerja, M Sundar berkata, caruman berkenaan dipotong secara bulanan dalam gaji mereka, namun tidak pernah dibayar kepada PERKESO dan KWSP.

Katanya, caruman PERKESO tidak dibayar bagi tempoh 39 bulan sejak 2016, manakala caruman KWSP tidak dibayar September tahun lalu.

“Sebelum operasi akhbar kami ditutup dan diberhentikan kerja, majikan berjanji akan membayar wang pampasan tiga bulan gaji yang akan diselesaikan Mac lalu.

“Namun, kami hanya menerima pampasan satu bulan gaji sahaja dan selebihnya tidak dibayar sehingga kini,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Sundar berkata, semakan dibuat juga mendapati bekas majikan mereka ‘merompak’ wang caruman PERKESO dan KWSP daripada mereka.

“Semua wang caruman kami itu dipotong daripada gaji yang kami terima, namun ia tidak dibayar kepada KWSP dan PERKESO.

“Selain caruman itu, bekas majikan kami juga tidak membayar wang perlindungan insuran berkumpulan yang diambil biarpun berdasarkan rekod, mereka membuat pemotongan gaji bagi tempoh 17 bulan,” katanya.

Menurut Sundar, perbuatan bekas majikan mereka adalah satu bentuk jenayah kerana menyeleweng wang milik mereka dan harus disiasat mengikut jenayah perdagangan.

Katanya, mereka sebelum ini ada menghantar satu memorandum kepada Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran namun sehingga kini tidak mendapat sebarang maklum balas.

“Apa yang membuatkan kami hairan, mengapa PERKESO dan KWSP tidak menyiasat atau mengambil sebarang tindakan apabila majikan kami tidak membuat caruman kepada pekerja seperti kebiasaan.

“Sepatutnya, mereka membuat semakan dan menyiasat hal ini kerana kami adalah ahli PERKESO dan KWSP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 4:31 PM