Lima lelaki yang disyaki terbabit dengan aktiviti keganasan ditahan anggota Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman.
Lima lelaki yang disyaki terbabit dengan aktiviti keganasan ditahan anggota Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman.
Oleh Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditahan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman kerana dipercayai terbabit dengan rangkaian pengganas Negara Islam (IS).

Lelaki berusia 59 tahun itu ditahan di Kota Bharu, Kelantan bersama empat warga asing menerusi operasi khas bagi mengekang aktiviti keganasan yang dijalankan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor bermula 17 November hingga 1 Disember lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi satu kenyataan media berkata, penahanan lelaki terbabit dilakukan susulan penangkapan ketua rangkaian itu di sebuah bengkel membaiki lori di Johor.

“Kami menahan seorang warga Bangladesh di Selangor yang dipercayai terbabit dalam rangkaian sama. Tiga lagi suspek yang masing-masing ditahan di Kelantan, Selangor dan Johor anggota kumpulan sel yang disyaki mempunyai hubungan dengan IS.

“Ketua rangkaian ini yang ditahan di Johor warga Indonesia berusia 31 tahun. Dia berbai’ah dengan pemimpin IS, Abu Bakar al-Baghdadi melalui laman sosial Facebook (FB), pertengahan 2014.

“Suspek warga tempatan bekerja sebagai tukang jahit dan anggota RELA. Dia bertanggungjawab merekrut dan mengatur anggota baru rangkaian terbabit untuk aktiviti keganasan di luar negara. Manakala suspek warga Bangladesh yang bekerja sebagai juruteknik syarikat swasta pula dipercayai merancang untuk berjihad dengan menyertai IS di Syria,” katanya.

Sementara itu, Khalid memaklumkan, dua lagi suspek warga Eropah dan Afrika. Mereka ditahan kerana disyaki terbabit dengan aktiviti keganasan di luar negara.

Khalid berkata, semua suspek berusia 25hingga 59 tahun dan ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Bab VIA-Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574).

“Tiga suspek yang terbabit dengan IS disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).

“Manakala dua suspek lagi disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 untuk pengusiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 5:14 AM