Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Empat individu termasuk suami isteri disyaki terbabit dalam kegiatan IS ditahan Bahagian Cawangan Khas Anti Pengganas (E8) Bukit Aman, dalam operasi khas dijalankan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata tiga daripada suspek ditahan pihak berkuasa Turki di Giziantep, 15 November 2015, ketika mereka dalam perjalanan menyusup masuk ke Syria.

"Ketiga-tiga individu itu kemudian dihantar pulang ke Malaysia pada 11 Januari lalu. Mereka kemudian ditahan setiba di KLIA.

“Mereka direkrut oleh Muhammad Wanndy Mohamed Jedi @ Abu Hamzah iaitu lelaki warga Malaysia yang menyertai IS melalui laman Facebook dan Telegram," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seorang lagi suspek ditahan di Stesen LRT Setiawangsa, malam semalam, disyaki anggota kumpulan IS yang merancang melancarkan serangan di negara ini.

"Suspek berusia 28 tahun itu mengaku merancang melancarkan serangan bunuh diri di negara ini selepas menerima arahan anggota IS warga asing di Syria.

"Lelaki terbabit turut mengaku bertanggungjawab menggantung bendera IS di Terengganu, Perak, Selangor dan Johor untuk memberi peringatan kepada kerajaan supaya menghentikan operasi penangkapan ke atas anggota IS di negara ini," katanya.

Khalid berkata, semua tangkapan disiasat mengikut prosedur mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 4:21 PM