Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Polis Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman tahan lima lelaki disyaki terbabit dengan aktiviti keganasan dalam operasi khas di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi satu kenyataan media, berkata empat warganegara asing dan seorang rakyat tempatan ditahan menerusi operasi 17 November hingga 1 Disember.

Katanya, tiga daripada suspek terbabit dipercayai mempunyai hubungan dengan kumpulan Islamic State (IS).

"Suspek pertama yang ditangkap di Kuala Lumpur adalah warga Eropah berusia 44 tahun. Dia bekerja sebagai guru sambilan di Pulau Pinang dan disyaki pernah menyertai kumpulan pengganas Al-Qaeda serta terbabit dengan keganasan di Afganistan dan Bosnia.

"Suspek kedua adalah rakyat Afrika berusia 29 tahun ditangkap di Cheras, Selangor. Suspek adalah pelajar kolej swasta di Petaling Jaya dan disyaki terbabit dalam aktiviti keganasan.

"Tiga suspek lagi ditangkap di Kelantan, Selangor dan Johor juga ada hubungan dengan kumpulan IS. Seorang daripadanya adalah warga tempatan ditahan di Kota Bharu dan dua lagi adalah warga asing iaitu Indonesia serta Bangladesh," katanya.

Menurutnya, tiga yang ditahan yang terbabit dengan IS akan disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Dua suspek lagi pula ditangkap mengikut Akta Imigresen 1959/63 untuk tujuan pengusiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 11:29 AM