Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur

Dua kakitangan kerajaan adalah antara tiga suspek yang ditahan polis selepas disyaki menyalurkan dana serta terbabit dalam aktiviti militan Negara Islam (IS) di Syria.

Kakitangan kerajaan berusia 23 dan 36 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Cawangan Khas (Bahagian Anti Pengganas) Bukit Aman di sekitar ibu negara dan Kedah pada 27 dan 28 November.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tiga suspek lelaki warga tempatan itu ditahan dalam satu operasi khas dijalankan selepas pihak polis menjalankan risikan dan pemantauan ke atas mereka sejak beberapa bulan lalu.

Khalid berkata, dua kakitangan kerajaan yang berkhidmat di ibu kota itu dipercayai terbabit dalam menyalurkan dana kepada beberapa rakyat Malaysia yang ingin menyertai kumpulan militan IS di Syria.

“Seorang suspek berusia 36 tahun itu dikesan menyertai kumpulan militan IS sejak 28 Disember 2013 dan kembali ke Malaysia pada 8 April lalu.

“Semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab 6A – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya.

Tangkapan terbaru itu susulan penahanan dua wanita dan seorang lelaki di Selangor dan sekitar ibu kota yang turut disyaki terbabit dalam aktiviti IS pada 22 November lalu.

Dalam tangkapan sebelum ini, dua wanita termasuk seorang pengasuh kanak-kanak ditahan sepasukan polis Cawangan Khas atas kesalahan menghasut, menggalak atau memperoleh harta bagi kegiatan keganasan.

Seorang lagi suspek wanita yang berusia 28 tahun bekerja sebagai pengurus acara di ibu negara manakala suspek lelaki pula adalah penolong eksekutif di salah sebuah badan berkanun.

Suspek turut mengendalikan beberapa laman sosial Facebook yang mempunyai kaitan dengan IS di Syria. Mereka juga disyaki terlibat dalam aktiviti pengumpulan dana yang mempunyai kaitan dengan aktiviti penghantaran rakyat Malaysia ke Syria untuk menyertai IS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 8:00 AM