Subang Jaya: Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit kemalangan dengan kenderaan tidak dikenali ketika pulang daripada bertugas di Jalan Subang Kelana dari USJ8 ke Kelana Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, anggota berkenaan Lans Koperal Basil Gregory Anak Albert Likau, 27, bertugas di Kem Komandan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

Katanya, dalam kejadian pada jam 4.46 pagi motosikal yang ditunggang mangsa berlanggar dengan sebuah kenderaan tidak dikenali dipercayai lori hasil siasatan ke atas kerosakan pada motosikal mangsa.

“Selepas kejadian itu, pemandu lori itu dipercayai melarikan diri dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

“Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan diterbangkan ke Miri bagipengebumian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 9:25 AM