Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Seorang anggota militan Negara Islam (IS) dikesan menyamar sedang melanjutkan pengajian dalam bidang sains komputer dan komputer forensik di negara ini sejak beberapa bulan lalu.

Suspek berusia 20-an itu bagaimanapun mempunyai misi khas untuk menggodam server komputer pasukan keselamatan Amerika Syarikat.

Identiti suspek bagaimanapun berjaya dibongkar selepas dia diberkas anggota Bahagian Counter Terrorisme Cawangan Khas Bukit Aman pada 15 September lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, lelaki berusia 20 tahun itu memasuki Malaysia pada Ogos tahun lalu menggunakan pas pelajar warga asing.

Menurutnya, suspek berpura-pura melanjutkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu negara.

“Bagaimanapun hasil siasatan polis mendapati suspek adalah anggota militan Islam. Dia mempunyai kepakaran menggodam server komputer dan siasatan mendapati suspek ada berkomunikasi dengan salah seorang pemimpin kanan kumpulan militan IS di Syria.

“Suspek dikesan berusaha menggodam beberapa server mengandungi maklumat butiran anggota pasukan keselamatan Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Menurutnya, maklumat itu kemudiannya disalurkan kepada bahagian operasi kumpulan itu untuk tindakan susulan.

“Kejayaan tangkapan itu adalah hasil kerjasama erat PDRM dengan pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam menangani ancaman keganasan khususnya ancaman kumpulan militan IS yang bersifat rentas sempadan.

“Suspek kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya.

Khalid berkata, suspek turut ditahan mengikut Akta Ekstradisi 1992 sementara menunggu prosiding ekstradisi ke Amerika Syarikat selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 7:37 AM