LELAKI warga Indonesia yang merancang melakukan serangan ke atas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Balai Polis Travers ditahan  di Jalan Klang Lama. Gambar kanan, seorang guru sekolah agama swasta ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan Daesh merancang merompak, menculik dan membunuh orang bukan Islam.  FOTO Ihsan PDRM.
LELAKI warga Indonesia yang merancang melakukan serangan ke atas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Balai Polis Travers ditahan di Jalan Klang Lama. Gambar kanan, seorang guru sekolah agama swasta ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan Daesh merancang merompak, menculik dan membunuh orang bukan Islam. FOTO Ihsan PDRM.
Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Rancang serangan ke pusat hiburan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, beberapa balai polis selain penduduk bukan Islam.

Itu antara rancangan dua lelaki yang dikesan cuba mencetuskan huru-hara sebelum berjaya ditahan polis Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek pertama ditahan adalah guru sebuah sekolah agama swasta di Subang Jaya berusia 25 tahun.

Menurutnya, lelaki itu ditahan di Petaling Jaya pada 23 Disember tahun lalu mengikut Akta Keselamatan (Langkah–langkah Khas) 2012.

“Lelaki itu pernah dijatuhkan penjara selama 18 bulan sebelum dibebaskan pada 9 November 2016.

“Bagaimanapun selepas dibebaskan, suspek kembali aktif dalam kumpulan militan Daish dan merancang untuk melancarkan serangan ke atas pusat hiburan di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Selain itu suspek turut merancang untuk merompak, menculik atau membunuh masyarakat bukan Islam berasaskan kepada kefahaman darah suspek bukan Islam di negara ini halal untuk ditumpahkan selain menggelar mereka kafir harbi,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, lelaki itu juga aktif mempromosikan ideologi Salafi Jihadi melalui lama sosial Facebook bertujuan merekrut ahli baru untuk kumpulan militan berkenaan.

“Lelaki ini juga dikesan mempunyai hubungan dengan beberapa bekas anggota Daish dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) yang pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

Beliau berkata, suspek kedua ditahan adalah seorang rakyat Indonesia berusia 23 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan ditahan pada 17 Januari lalu.

“Dia pernah melakukan cubaan membunuh mana–mana sami Buddha sebagai tindakan balas dendam terhadap kekejaman kerajaan Myanmar ke atas umat Islam Rohingya di Jalan Pudu pada November lalu.

“Suspek juga merancang untuk menyerang Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Balai Polis Travers dengan tujuan merampas senjata api dari stor senjata di kedua–dua lokasi selain senjata api dari balai polis lain dan kem tentera untuk digunakan dalam serangan di Malaysia dan negara asalnya.

“Senjata yang digunakan suspek dalam cubaannya untuk membunuh sami Buddha juga ditemui ketika pasukan serbuan menggeledah rumah suspek di ibu kota,” katanya.

Katanya, suspek juga sudah berbai’ah dengan seorang pemimpin kanan kumpulan Daish melalui aplikasi WhatsApp selain cuba merekrut beberapa rakyat senegaranya bagi menyertai kumpulan militan yang sama selain mengibarkan bendera Daish di tapak pembinaan tempat suspek bekerja.

“Kedua–dua suspek ditahan dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah–Langkah Khas) 2012,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 5:53 AM