TOK TI, Boon Heong mudah mesra lawan badminton dalam program Mesti Smash Let’s Go.
TOK TI, Boon Heong mudah mesra lawan badminton dalam program Mesti Smash Let’s Go.
Georgie Joseph


Sebagai peminat sukan badminton, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, 43, teruja dapat terbabit dalam acara perlawanan dengan bekas pemain negara, Tan Boon Heong, baru-baru ini.

Menerusi program Mesti Smash Let's Go yang berlangsung di Shuttle In The Dark, KLCC itu, ikatan antara mereka juga jelas cukup mesra walaupun baharu berkenalan beberapa bulan lalu.

Siti berkata, dia sentiasa mengagumi pencapaian Boon Heong sejak dulu. Justeru, dapat menjalin kerjasama dengannya juga adalah peluang cukup bermakna.

"Saya suka mengikuti perkembangan Boon Heong sehingga sekarang. Walaupun sudah tidak bermain mewakili negara, dia masih menjadi tenaga pengajar untuk melatih bakat baharu sukan itu.

"Acara ini juga memang sangat menyeronokkan. Tapi, itu masa singkat kerana ikut atur cara, namun pasti akan bermain badminton lagi dengannya jika ada waktu senggang nanti," katanya.

Boon Heong juga mengakui dia berbesar hati dapat mendekati penyanyi nombor satu negara itu. Apatah lagi mendapat kepercayaan menjadi duta produk milik Siti.

Dia tidak nafikan terbit rasa risau juga untuk mendekati penyanyi itu. Bagaimanapun, ternyata mereka mudah mesra dan masing-masing kini sudah bersahabat baik.

"Siapa yang tak kenal Siti. Isteri saya adalah peminat setianya, malah boleh menyanyikan lagu-lagunya. Saya tak sangka boleh bekerjasama dengan Siti.

"Saya terima tawaran jadi duta produknya bukan sebab bayaran. Sebaliknya saya melihat ia satu peluang dan kesempatan yang cukup berharga," katanya.

SITI dan Boon Heong bersama peminat membuat senaman regangan sebelum memulakan permainan.
SITI dan Boon Heong bersama peminat membuat senaman regangan sebelum memulakan permainan.

Boon Heong berkata, sebelum ini dia hanya dapat mengikuti Siti dari jauh saja. Dengan kuasa platform media sosial, akhirnya dapat pertemukan mereka.

"Ketika baru pertama kali bertemu dengannya, saya rasa agak kekok dan gementar. Bagaimanapun, sekarang sudah boleh 'ngam' macam kawan," katanya.

Pada acara yang turut membabitkan rakan artis termasuk kakaknya, Siti Saida dan penyanyi baharu Syahmi Irfan, Siti akui semangatnya berkobar-kobar untuk dapat menganjurkan sukan antara artis berskala besar.

Siti berkata, hasrat itu sebenarnya sudah dipendam lama kerana beliau tahu ramai dalam kalangan artis memiliki bakat sukan yang cukup mengagumkan.

"Sebelum ini saya pun pernah menyertai aktiviti sukan yang dibuat untuk rakan-rakan artis. Ramai sebenarnya rakan artis yang pandai bermain badminton, bola jaring dan sebagainya.

"Ada bakat atlet dalam diri masing-masing, cuma tinggal kita tiada masa untuk menunjukkan bakat itu. Insya-Allah mana tahu saya akan buat acara sukan untuk artis suatu hari nanti," katanya.

Menurut Siti, beliau sangat seronok dapat terbabit dalam acara sebegitu yang baginya cara terbaik lepaskan tekanan serta menjaga stamina.

"Saya suka kalau dapat buat banyak aktiviti bersukan macam ini, tapi itulah kadang-kadang masa. Kalau berpeluang, pasti saya rancang setiap bulan.

"Bersukan adalah satu daripada cara saya lepaskan tekanan dan dapatkan tubuh badan lebih sihat. Secara tak langsung, minda pun jadi lebih tenang lepas bersukan," katanya.

Pada acara itu, Siti turut mengumumkan Boon Heong sebagai duta minuman sarang burung Beaunest keluaran Beausiti.

Beliau percaya Boon Heong mempunyai tarikan termasuk strategi meluaskan pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 6:48 AM