PENUMPANG membentangkan idea mereka di dalam kenderaan Uber dalam program #MyUberPitch.
PENUMPANG membentangkan idea mereka di dalam kenderaan Uber dalam program #MyUberPitch.
#MyUberPitch adalah usahasama Uber dan INTI untuk memberi peluang kepada orang ramai terutamanya anak muda mengembangkan idea perniagaan mereka.
#MyUberPitch adalah usahasama Uber dan INTI untuk memberi peluang kepada orang ramai terutamanya anak muda mengembangkan idea perniagaan mereka.

Basyar Mustapha merasakan anak muda tempatan tidak kurang hebatnya dalam mencipta idea keusahawanan dan teknologi setaraf kreativiti warga Silicon Valley.

Gabungan minat dan idea menyelesaikan masalah sedia ada membuahkan hasil untuk dua anak muda yang menjadi pemenang pertandingan inovasi #MyUberPitch. Pertandingan yang julung kali diadakan ini dianjurkan syarikat perkhidmatan pengangkutan Uber dengan kerjasama INTI International University & Colleges (INTI).

Vas Ramanujam dipilih sebagai juara pertandingan oleh orang ramai yang mengundi ciptaannya iaitu laman portal dan aplikasi telefon pintar dinamakan Ola Bola.

Sebagai pencinta sukan bola sepak, Vas mendapat idea ini daripada minat dan pengalamannya dalam sukan itu.

“Bola sepak sudah sebati dengan diri saya dan ramai pencinta sukan ini di luar sana. Namun kami kekura­ngan medium yang cekap untuk berhubung sesama sendiri untuk bermain dan membincangkan topik bola sepak. Dari situ muncul idea untuk wujudkan satu platform di hujung jari mengumpul peminat bola sepak untuk melakukan aktiviti berkaitan sukan ini.

“Ola Bola merupakan satu ruang maya di mana peminat dan mereka yang suka bermain bola sepak boleh berhubung dan merancang perlawanan sesama sendiri. Apabila berhubung di Ola Bola, pengunjung boleh me­ngaturkan perlawanan sebenar secara individu mahupun kumpulan dan menetapkan masa dan tempat perlawanan.

“Ini memberi peluang untuk pemain bersukan, berkomunikasi dan mengasah bakat mereka dengan lebih luas, malah ia mungkin boleh mencungkil bakat baru dalam dunia sukan bola sepak tanah air. Saya berterima kasih kepada pihak juri dan orang ramai kerana mengiktiraf kemudahan ini dan diharap ia dapat memberi kebaikan bersama dalam bidang sukan kegemaran ramai ini khasnya,” kata Vas, 30, yang bekerja dalam bidang insurans.

Vas mendapat undi terbanyak iaitu lebih 20,000 undi, sekali gus melayakannya dinobatkan sebagai juara manakala tempat kedua dimenangi Tan Wei Yong berusia 21 tahun.

Ideanya mengatasi masalah pekerja di bandar sibuk mendapatkan makanan yang mereka inginkan berjaya mendapat sokongan orang ramai dan undian kedua tertinggi.

“Ramai antara kita sibuk ketika waktu bekerja dan selalu bosan dengan makan hidangan tengah hari yang sama, malah ada ketika tidak tahu hendak makan apa.

“Daripada masalah ini dan minat saya dalam dunia perniagaan, datang idea untuk menghasilkan RunningMan.my iaitu aplikasi telefon pintar yang memberikan servis penghantaran makanan kesukaan pelanggan pada waktu dikehendaki mereka.

“Saya merasakan ruang diberikan oleh pertandingan ini sangat baik untuk anak muda seperti kami yang sering berfikir bagaimanakah kami boleh memberikan produk atau servis berinovasi terbaik untuk orang ramai,” katanya.

Tan kini fokus mengembangkan perkhidmatan aplikasi ini untuk penghantaran barang lain selain makanan.

Tempat ketiga dimenangi Parivash Jafari dengan ideanya, Soul-Cycling iaitu program senaman berbasikal unik yang diiringi elemen muzik dan sorakan bagi menyempurnakan senaman.

Ia bukan saja menggalakkan orang ramai menyertai aktiviti fizikal menyihatkan, malah membina semangat dan kekuatan mental peserta.

Pemenang mendapat tajaan biasiswa penuh pe­ngajian sarjana pentadbiran perniagaan daripada pusat pengajian INTI selain hadiah menarik daripada YTL Communications.

Dalam pertandingan ini, lebih 100 penumpang Uber membentangkan idea mereka dalam kereta ikon usahawan dan wakil agensi keusahawanan negara. Ini secara tidak langsung memberi keunikan kepada pertandingan ini. Seramai 20 pembentang dengan idea terbaik dipilih sebagai finalis berdasarkan inovasi terbaik dan kelestarian idea mereka. Tiga pemenang dipilih oleh orang ramai melalui laman web rasmi Says.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 1:45 PM