Kuala Lumpur: Seekor lembu jantan yang baru diturunkan dari lori untuk tujuan korban sempena Aidiladha ‘melarikan diri’ sebelum terjatuh ke dalam longkang besar di AU 5, Lembah Keramat, di sini.

Dalam kejadian jam 3 petang kelmarin, penduduk bertungkus-lumus menaikkan lembu itu ke atas tebing longkang, namun gagal.

Susulan itu mereka menghubungi pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk meminta bantuan mengangkat lembu di dalam longkang sedalam lebih lima meter.

Difahamkan, lembu seberat 300 kilogram itu turut cedera akibat terjatuh menyebabkan pihak pembekal menggantikan lembu baru bagi tujuan korban berkenaan.

Jurucakap JPAM Dang Wangi Firdaus Mohd Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4 petang sebelum lima anggota JPAM dihantar bagi membantu tugas menaikkan lembu itu.

“Pihak kami bersama penduduk mengambil masa dua jam sebelum lembu jantan itu diselamatkan. Kaki lembu itu diikat sebelum haiwan itu ditarik ke atas tebing secara perlahan-lahan.

“Sebelum itu, penduduk berusaha menaikkan lembu itu menggunakan besi dan tali, namun gagal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 6:32 AM