ENAM lagi al-Quran ditemui dipercayai dibuang individu tidak bertanggungjawab ke dalam lombong. FOTO ihsan pembaca
ENAM lagi al-Quran ditemui dipercayai dibuang individu tidak bertanggungjawab ke dalam lombong. FOTO ihsan pembaca
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Enam lagi kitab al-Quran ditemukan di lombong di Taman Tasik Sri Murni, Jinjang di sini, hari ini, dipercayai dibuang individu tidak bertanggungjawab.

Penduduk, Saniza Yusuf, 49, berkata, dia bersama beberapa rakan menemui al-Quran berkenaan di dalam plastik sampah berwarna biru ketika sedang memancing di lombong berkenaan jam 6.30 petang.

Menurutnya, kitab suci itu ditemui tidak jauh dari lokasi pertama yang mana 14 naskhah al-Quran dilaporkan dibuang ke dalam longkang, di sini, semalam.

"Semasa memancing tadi, salah seorang kawan saya terlihat plastik berwarna biru di tebing lombong yang terletak di belakang sekolah.

"Kami buka plastik dan jumpa enam naskhah al-Quran yang masih elok dalam plastik. Mungkin orang ini buang ke tengah lombong tetapi hanyut ke tebing," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, polis sedang mengesan individu yang melakukan perbuatan terbabit selepas menerima laporan daripada seorang wanita tempatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran dengan tujuan mengaibkan agama dan Seksyen 298 A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian atas agama.

Sebelum itu, tular di laman sosial video individu mengutip beberapa naskhah al-Quran yang dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab di dalam longkang berhampiran lombong Taman Sri Murni.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 7:25 PM