Penduduk cuba membantu mengeluarkan lembu yang terperangkap di dalam longkang (gambar bulat).
Penduduk cuba membantu mengeluarkan lembu yang terperangkap di dalam longkang (gambar bulat).
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Cubaan anggota bomba serta beberapa penduduk menyelamatkan seekor lembu yang terjatuh dalam longkang gagal apabila haiwan itu mati dalam kejadian di Fasa 10, Bandar Springhill, di sini, kelmarin.

Difahamkan, lembu jantan itu dipercayai terjatuh dalam longkang sedalam dua meter sejak jam 4 petang sebelum penduduk bertungkus-lumus cuba menariknya keluar.

Penduduk, Fauzi Ahmad, 41, berkata, ketika melalui jalan itu, dia nampak seekor lembu berada dalam longkang tidak berair.

“Saya lihat lembu itu seperti tersepit dan keletihan lalu menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson meminta bantuan mereka menariknya keluar.

“Sebelum bomba tiba, lembu itu sudah mati. Kami tidak sempat menyembelihnya kerana keadaan sempit. Bangkai lembu berkenaan berjaya ditarik keluar dengan bantuan bomba serta pemiliknya untuk ditanam,” katanya.

Katanya, kawasan taman perumahan di sekitar Bandar Springhill menjadi tempat lembu berkeliaran hingga menyukarkan penduduk bercucuk tanam.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Ahmad Ezam berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.11 petang sebelum bergegas ke lokasi.

“Sebaik bomba tiba, lembu itu sudah mati dalam keadaan kepala tunduk, selain keluar muntah yang banyak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 10:11 AM