Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Seorang lelaki dikenali sebagai Anuar Kecok yang pernah ditahan atas kesalahan menyamar sebagai pegawai kerajaan untuk menipu mangsa dikesan aktif kembali memperdayakan mangsa dengan modus operandi sama untuk mendapatkan wang secara mudah.

Suspek berusia 50-an akan menyamar sebagai pegawai kerajaan dan menawarkan kenderaan seperti kereta dan motosikal seludup dengan harga murah kepada mangsanya.

Mangsa yang terpengaruh dengan tawaran suspek itu akan menyerahkan sejumlah wang bersama satu salinan kad pengenalan sebelum suspek melarikan diri.

Terbaru, seorang pemandu teksi diperdaya oleh suspek yang menaiki kenderaannya di Jalan Padang Garong, di sini, pada 13 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, sepanjang perjalanan itu, suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai kerajaan dan memberitahu ada menjual kenderaan murah.

Katanya, mangsa yang terpedaya dengan dengan tawaran itu kemudian menyerahkan wang tunai RM2,500 bersama satu salinan kad pengenalan kepada suspek.

“Sebaik sampai di Jalan Tengku Petra, Semerak, di sini, suspek mengarahkan mangsa supaya menunggunya kerana dia mahu berjumpa rakannya di situ.

“Tetapi, selepas dua jam kemudian, suspek tidak muncul menyebabkan mangsa merasakan dirinya ditipu. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 6:23 AM