Asrol Awang

Kuantan: Lelaki warga emas kerugian RM100,000 selepas terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan, mangsa berusia 67 tahun dari Temerloh menerima panggilan daripada suspek pada 5 Jun lalu.

Menurutnya, menerusi perbualan telefon itu, suspek memaklumkan mangsa membuat penghantaran bungkusan melalui syarikat kurier mengandungi kad mesin juruwang automatik (ATM) dan kad pengenalan.

"Hasil semakan mendapati mangsa mempunyai rekod penyalahgunaan dadah dan pengubahan wang haram. Suspek bukan sahaja menyamar sebagai pegawai polis, malah menyamar sebagai pegawai mahkamah dan syarikat penghantaran barang.

"Mangsa berasa takut dan mengikut arahan sehingga memindahkan wang berjumlah RM100,000 kepada dua akaun bank yang diberikan suspek.

"Siasatan mendapati mangsa menggunakan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan penyelesaian kes," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Yahaya berkata, penjawat awam berusia 32 tahun kerugian RM95,000 selepas ditipu individu menyamar sebagai pegawai syarikat penghantaran barang pada 1 Januari lalu.

Katanya, berdasarkan laporan, suspek memaklumkan nama mangsa digunakan dalam penghantaran barang terlarang sebelum panggilan telefon disambung kepada pihak polis dan mahkamah.

"Ia membabitkan, masing-masing tiga keping kad pengenalan, kad ATM serta kad sim untuk dihantar ke Perlis dan disenarai hitamkan.

"Lelaki itu diminta untuk membuat pinjaman peribadi dan wang itu didakwa dipindahkan kepada satu akaun Juruaudit Bank Negara Malaysia untuk siasatan.

"Dalam tempoh seminggu mulai 14 April lalu, mangsa membuat empat transaksi berjumlah RM95,200 kepada empat akaun berbeza sebelum menyedari ditipu," katanya.

Katanya, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 12:54 PM