Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Dua penyamun tergamak menikam perut seorang pelajar tingkatan satu sehingga parah semata-mata mahu menyamun sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM50 dalam kejadian di Lebuh Jelapang, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 10 malam, remaja lelaki berusia 13 tahun itu sedang mendengar lagu menerusi telefon bimbit di hadapan rumahnya sebelum didatangi dua lelaki bertopi keledar penuh dan menaiki sebuah motosikal.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Anuar Othman berkata, suspek kemudian terus mengacukan pisau kepada mangsa sebelum meminta telefon bimbit serta wang tunai milik mangsa diserahkan kepada mereka.

Katanya, mangsa yang takut dengan tindakan kedua-dua suspek mengacukan pisau kepadanya terus menyerahkan barangan berharga miliknya sebelum menjerit meminta bantuan.

Menurutnya, sebaik mangsa menjerit meminta pertolongan, suspek kemudiannya bertindak menikam perut mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, untuk menerima rawatan dan keadaan mangsa dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan di bahagian perut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 8:58 AM