GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi

LELAKI yang disyaki menyamun pemandu e-hailing di Jalan Ang Seng, Kuala Lumpur ditahan polis di sebuah rumah kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, suspek berusia 24 tahun itu ditahan pada 6.30 petang di OUG Parklane selepas menyamun wang tunai dan telefon bimbit yang dianggarkan nilai keseluruhan RM700 milik mangsa lelaki berusia 41 tahun.

Menurutnya, kejadian samun itu berlaku pada 7.30 pagi Ahad lalu apabila suspek mengacukan sebilah pisau di bahagian perut dan mengambil telefon bimbit dan wang tunai di dalam dompet milik mangsa sebelum melarikan diri.

TELEFON bimbit milik pemandu e-hailing yang disamun di Jalan Ang Seng dirampas polis susulan penahanan lelaki  di sebuah rumah di OUG Parklane. FOTO IHSAN PDRM
TELEFON bimbit milik pemandu e-hailing yang disamun di Jalan Ang Seng dirampas polis susulan penahanan lelaki di sebuah rumah di OUG Parklane. FOTO IHSAN PDRM

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis sebelum tindakan susulan mengesannya dilakukan dan berjaya menahannya.

"Suspek juga didapati memiliki beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis menasihati orang awam yang menjadi mangsa jenayah untuk terus menghubungi MERS 999 bagi mendapatkan bantuan daripada pihak polis.

"Sebarang informasi berkaitan kegiatan jenayah juga boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 4:24 PM