Antara barangan yang dirampas dalam kes samun bersenjata di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Nibong. FOTO Ihsan PDRM
Antara barangan yang dirampas dalam kes samun bersenjata di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Nibong. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Hafizee Mohd Arop


DUA lelaki ditahan polis kurang 11 jam melakukan samun bersenjata di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Nibong, Kampung Gajah hari ini.

Difahamkan, kedua-dua penjenayah berusia 27 dan 31 tahun itu ditahan 2.25 petang di Kampung Tersusun Balun Bidai hasil risikan polis selepas menerima laporan mangsa.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, seorang daripada suspek dipercayai memecah masuk rumah berkenaan yang didiami seorang wanita bersama dua anaknya 4.15 pagi.

Menurutnya, suspek yang tidak berbaju dan menutup muka dengan kain dipercayai masuk ke dalam rumah berkenaan melalui tingkap dapur ketika semua mangsa tidur.

“Suspek kemudiannya mengacukan pisau ke arah mangsa dan meminta wang serta barang berharga.

“Mangsa yang ketakutan menyerahkan wang RM130 serta telefon bimbit dan suspek kemudian melarikan diri melalui tingkap dapur ke arah semak di bahagian belakang rumah,” katanya hari ini.

Mohamad Zainal berkata, bertindak atas laporan dibuat mangsa, polis kemudiannya menjalankan risikan dan berjaya mengesan suspek di sebuah rumah di Kampung Tersusun Balun Bidai sebelum menahan dua lelaki.

“Polis menahan dua lelaki di rumah berkenaan dan hasil siasatan seorang lelaki itu mengaku terbabit dalam kes samun itu manakala seorang lagi mengaku menghantar rakannya itu untuk menyamun.

“Wang yang disamun sudah digunakan untuk membeli dadah jenis syabu manakala telefon bimbit mangsa berjaya ditemui,” katanya.

Menurut Mohamad Zainal, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 95/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 9:16 PM