Kuala Lumpur: Rumah Yayasan Sahabat Iman dan Insan Malaysia (SIDIM) sudah melahirkan 27 hafiz al-Quran dalam kalangan bekas pengedar dan penagih dadah yang menjalani pemulihan di situ sepanjang penubuhannya lebih 10 tahun lalu.

Malah, secara keseluruhannya sehingga akhir tahun lalu, lebih 3,800 pelatih yang terjebak dalam penagihan dadah dipulihkan selepas dihantar ke rumah pemulihan di bawah kelolaan SIDIM.

Pengasas dan Penasihat Kebajikan SIDIM Mohamed Hanafiah Abdul Malek berkata, jumlah pelatih yang dipulihkan sepenuhnya itu menggunakan teknik kaedah psikologi terbalik (reverse psychology), spiritual dan terapi dengan disulami zikir dan al-Quran.

Menurutnya, pemulihan dilakukan di tujuh rumah pemulihan SIDIM iaitu Rumah Insani 1, Rumah Insani 2 dan Rumah Insani 3; Rumah Hidayah Insani; Rumah Iman serta Rumah Amal Sunnah Al-Quran 1 dan Rumah Amal Sunnah Al-Quran.

“SIDIM mendapat bantuan serta sokongan baik daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) termasuk Rumah Hidayah Insani. Operasi kami tidak mempunyai masalah dengan undang-undang.

“Apapun perlu dijelaskan kepada orang ramai kami memulihkan ketagihan bukannya mengedar dadah,” katanya mengulas laporan muka depan Harian Metro pada Sabtu lalu.

Laporan memetik sindiket pengedaran dadah tempatan dipercayai menyasarkan pelajar agama terutama di pusat tahfiz serta sekolah pondok sebagai ‘pasaran’ baru sindiket.

Ini dikatakan selari agenda pihak tertentu melemahkan masyarakat Islam di negara ini.

Sementara itu, Pengasas Rumah Hidayah Insani Shaikh Abdul Majid Shaikh Ahmad berkata, pihaknya menerima pelatih daripada pelbagai latar belakang termasuk bekas pelajar sekolah pondok, pusat tahfiz dan institusi pengajian tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 8:52 AM