Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Baharom Bakar


KERAJAAN Negeri Terengganu bercadang membuka kelas pengajian al-Quran mingguan yang dianjurkan Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) di semua daerah di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata, cadangan pembukaan kelas pengajian al-Quran mingguan di semua daerah disuarakan pelajar yang terpaksa berulang alik ke kampus utama KQT di Padang Midin, di sini.

Katanya, kebanyakan pelajar terutamanya golongan dewasa yang mengikuti pengajian al-Quran selama dua jam bagi setiap sesi di kampus utama KQT dari Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.

"Setakat ini, lebih 2,000 pelajar dari seluruh daerah di negeri ini mengikuti kelas pengajian al-Quran mingguan yang diadakan pada setiap Jumaat dan Sabtu.

"Kerajaan negeri dan KQT mempunyai kemampuan termasuk bangunan milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk dijadikan kelas pengajian selain tenaga pengajar," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu hari ini.

Ghazali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata demikian ketika mengulas gesaan pelajar terutamanya dari beberapa daerah yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan termasuk kos pengangkutan untuk ke kampus utama KQT bagi mengikuti pengajian al-Quran.

Katanya, Yang Dipertua MAIDAM Datuk Shaikh Harun Ismail turut menyuarakan pandangan dan cadangan supaya kerajaan negeri membuka kampus KQT di semua daerah di negeri ini bagi mengurangkan bebanan kewangan dan masa pelajar untuk mengikuti kelas pengajian al-Quran.

"Saya akan mengadakan perbincangan dengan MAIDAM dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) serta pengurusan KQT bagi mengurangkan bebanan pelajar.

"MAIDAM pada dasarnya bersetuju meluluskan bangunan miliknya di semua daerah di negeri ini bagi dijadikan kelas pengajian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 6:02 PM