SEKOLAH Al-Quran Malaysia dibina berhampiran Kem Pelarian Nusierat, Gaza.
SEKOLAH Al-Quran Malaysia dibina berhampiran Kem Pelarian Nusierat, Gaza.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Sekolah berkonsepkan maahad tahfiz dengan nilai RM4.3 juta berjaya dibuka Aman Palestin Berhad di Semenanjung Gaza, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di negara berkenaan.

Sekolah Al-Quran Malaysia yang terletak berhampiran dengan kawasan kem pelarian Nusierat, Gaza itu dirasmikan wakil Kementerian Pendidikan Palestin Dr Mohd Seyam Abu Hammam.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Cawangan Gaza, Ir Omar Seyam berkata, pembukaan itu memperlihatkan kejayaan Aman Palestin dalam mengumpul sumbangan dan membantu rakyat negara berkenaan.

“Sekolah ini bernilai RM4.3 juta dan lokasinya begitu strategik iaitu berhampiran dengan kem pelarian Nusierat. Kami akan menggunakan konsep maahad tahfiz bagi sekolah ini.

“Kejayaan ini adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Daruk Quran Wa Sunnah,” katanya kepada Harian Metro menerusi WhatsApp, semalam.

Omar berkata, sekolah dengan keluasan lantai 4,500 meter persegi itu mempunyai 60 pelajar yang mengikuti pendidikan dalam al-Quran.

Beliau berkata, secara amnya, operasi sekolah itu dilaksanakan sepenuhnya Dar Al-Quran Al-Kareem Wa Sunnah.

“Selain daripada pembukaan sekolah ini, pelbagai projek sudah kami tunaikan, termasuk ada yang sedang kami usahakan dalam meningkatkan infrastruktur serta keperluan pendidikan rakyat Palestin.

“Kami berhasrat untuk membina dan memperbaiki beberapa hospital yang agak daif kerana keperluan berkenaan begitu diperlukan untuk rakyat Gaza,” katanya.

Katanya, semua usaha berkenaan tidak akan berjaya jika tiada sumbangan serta bantuan daripada pihak lain terutama rakyat Malaysia yang begitu prihatin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 4:57 AM