MUHD Atiqullah membawa ibu dan bapanya membeli kurma di salah satu ladang kurma yang dilawati dalam ziarah luar kota Madinah.
MUHD Atiqullah membawa ibu dan bapanya membeli kurma di salah satu ladang kurma yang dilawati dalam ziarah luar kota Madinah.
Husain Jahit

Madinah: "Perancangan Allah yang Maha Esa itu sememangnya lebih baik dari kita apabila saya dipertemukan dengan anak sendiri yang sedang belajar di Universiti Islam Madinah dan dia sendiri yang menjadi Muzawwir bagi kumpulan kami dalam aktiviti ziarah luar di Madinah ini."

Demikian pilu dan terharunya seorang ayah Mohd Nasir Yusof bertugas sebagai Pengarah Pusat Pemulihan Akhlak di Machang, Kelantan, serta isteri Ruzila Ab Halim, seorang guru Bahasa Arab, apabila diberitahu anaknya sendiri menjadi Muzawwir untuk kumpulannya.

"Kami tidak pernah merancang, malah kami pernah tolak tawaran untuk mengerjakan haji pada tahun lalu atas sebab-sebab tertentu dan ketika juga anak saya Muhd Atiqullah baru mendaftar di Universiti Madinah,"

"Apabila kami ditawarkan lagi tahun ini kami terus terima dan mungkin ini peluang kami untuk berjumpa Atiqullah yang sudah setahun tidak berjumpa. Berjumpa pula di Tanah Suci. Sememangnya Allah itu sebaik-baik perancang, tanpa disangka Atiqullah menjadi Muzawwir kepada kumpulan kami," katanya kepada Petugas Media Tabung Haji ketika ditemui di Madinah, baru-baru ini.

Muhd Atiqullah, 23, adalah adalah sulung daripada lima beradik, empat lelaki dan seorang perempuan.

"Kelima-lima anak kami adalah hafiz dan hafizah al-Quran. Yang bongsu adalah satu-satunya anak perempuan kami dan berjaya menghafal al-Quran semuda 14 tahun," katanya lagi yang memiliki anak kedua berusia 21 tahun, ketiga (17 tahun) dan keempat (15 tahun).

Tambah Mohd Nasir, dia pernah membawa anaknya itu ke Madinah 10 tahun lalu sebagai hadiah kepadanya selepas berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran.

"Ketika di Madinah saya pernah katakan kepada Muhd Atiqullah bahawa walau apa dan macam mana pun awak perlu belajar di Madinah. Perlu berusaha keras, kerana bukan mudah untuk terpilih masuk ke Universiti Madinah,"

"Bayangkan berapa ramai pelajar yang ingin belajar di Universiti Madinah. Hanya 200 orang saja pelajar Malaysia di situ, saringan untuk masuk memang ketat," katanya lagi.

Sementara Ruzila mengharapkan Muhd Atiqullah menjadi idola kepada adik-adiknya yang lain sambil berkata, anak keduanya dijangka menyusul belajar di Universiti Islam Madinah tidak lama lagi.

Ketika ditanya bagaimana semua anak-anaknya boleh berminat untuk menghafaz al-Quran, katanya, kita perlu hidupkan suasana dengan al-Quran di dalam rumah. Mereka sentiasa diterapkan dengan ilmu al-Quran.

"Mereka masih bebas menggunakan gajet tetapi perlu ada kawalan. Saya dan suami tidak pernah melarang mereka menggunakan gajet, tetapi perlu ada kawalan," katanya sambil menyatakan dia dan suami pernah menolak beberapa tawaran daripada institusi tempatan untuk Muhd Atiqullah.

Sementara Muhd Atiqullah berkata, dia pertama kali menjadi muzawwir cukup terharu apabila mengetahui ibu bapanya antara jemaah haji yang turut menyertai ziarah terbabit, sedangkan ketika itu dia belum tahupun akan menjadi pengiring mereka.

"Saya hanya tahu ibu bapa saya dapat menunaikan haji kira-kira sebulan lalu. Keputusan menjadi muzawwir hanya diterima beberapa hari sebelum ibu bapa berlepas. Itu pun mereka cuma beritahu saya bertugas menerusi kumpulan WhatsApp," jelasnya yang juga penuntut tahun kedua persediaan Bahasa Arab.

"Insya-Allah saya kini berada dalam semester akhir kursus Bahasa Arab dan selepas ini saya akan mengambil jurusan Al-Quran dan Sunnah," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 8:34 AM