KEADAAN Perodua Myvi yang remuk setelah bertembung Toyota Hilux di Kilometer 52, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Paloh. FOTO IHSAN PDRM
KEADAAN Perodua Myvi yang remuk setelah bertembung Toyota Hilux di Kilometer 52, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Paloh. FOTO IHSAN PDRM
Ramli Ibrahim

SEORANG peniaga wanita maut dan dua cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 52 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Paloh, hari ini.

Kejadian jam 3.30 petang menyebabkan mangsa, Zalina Ariffin, 53, berasal dari Jalan Masjid Kota, Kota Bharu, maut di lokasi kejadian.

Dua mangsa yang cedera iaitu suami Zalina, Ahmad Akmannizam Mohammad, 48, pemandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dan Wong Kong Hey, 52, pemandu Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, mangsa menaiki Toyota Hilux dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Katanya, sebaik sampai di kawasan selekoh, kenderaan dipandu suami mangsa hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Akibatnya, kenderaan berkenaan bertembung dengan Perodua Myvi dipandu Wong yang datang dari arah bertentangan.

“Mangsa yang berada di bahagian penumpang hadapan cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mohd Taufik berkata, suami mangsa mengalami sakit dada menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM), manakala Wong yang patah kaki kanan dirawat di Hospital Kuala Krai.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum di serahkan kepada keluarga untuk dikebumikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau menasihatkan kepada pemandu yang melalui jalan Gua Musang-Kuala Krai supaya mematuhi peraturan memandangkan keadaan jalan pada masa ini licin serta banyak kenderaan berat melalui lokasi itu berikutan cuti sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 11:28 PM