Kereta dinaiki mangsa temuk teruk selepas terbalik di KM21 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Kampung Gua Sejuk pagi ini. FOTO RAMLI IBRAHIM
Kereta dinaiki mangsa temuk teruk selepas terbalik di KM21 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Kampung Gua Sejuk pagi ini. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Seorang lelaki maut manakala rakannya parah apabila kereta dinaiki terbalik di Kilometer 21 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Kampung Gua Sejuk, di sini, hari ini.

Mangsa maut dikenali Muhamad Asymawi Muhamad Albakri, 20, manakala rakannya yang parah adalah Mohamad Syazwan Mohamad Kamal, 18.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku pada 8 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari Felda Chiku 3 ke Gua Musang

Beliau berkata, kereta Proton Wira dipandu Muhamad Asymawi hilang kawalan sebaik sampai di lokasi kejadian sebelum terbalik ke dalam longkang di kanan jalan.

"Kedua-dua tersepit di tempat duduk dalam kereta itu sebelum dibawa keluar anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang.

"Pemandu kereta berasal dari Felda Chiku 3 itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan sebelum siasatan mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu.

"Manakala Mohamad Syazwan yang berasal dari Felda Chiku 5 dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 8:10 PM