Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Buruh binaan warga Rohingya (Myanmar) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan akhir bulan lalu.

Tertuduh, Korimullah Abdu Rahman, 35, membuat pengakuan itu sejurus kertas pertuduhan dibacakan.

Hakim Darmafikri Abu Adam bagaimanapun menangguhkan kes untuk fakta dan hukuman pada 31 Januari ini selepas dipohon pihak pendakwaan bagi mendapatkan jurubahasa Rohingya.

Ia bertujuan memastikan tertuduh benar-benar memahami pertuduhan serta faham akibat pengakuan bersalahnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak berusia 12 tahun lapan bulan di Jalan Pulau Senang 3, Semabok Melaka pada 26 Disember lalu, jam 8.30 malam.

KORIMULLAH (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan akhir bulan lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
KORIMULLAH (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan akhir bulan lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.

Tertuduh didakwa mengikuti Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan.

Pada prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan termasuk status tertuduh sebagai pelarian belum sah dan hukuman penjara wajib bagi kesalahan itu.

"Untuk makluman mahkamah surat daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian, (UNHCR) menyatakan tertuduh masih dalam permohonan status pelarian.

"Jadi status pelariannya belum sah selain dia juga tiada pasport justeru pendakwaan membantah jaminan diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 3:19 PM