TangaN kanan mangsa yang berjaya dikeluarkan dirawat pasukan perubatan.
TangaN kanan mangsa yang berjaya dikeluarkan dirawat pasukan perubatan.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Ampang: Malang tidak berbau buat pemilik perusahaan karipap sejuk beku apabila tangan mangsa tersepit pada mesin pemprosesan makanan kira-kira satu jam sebelum diselamatkan di premis Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi, mangsa berusia 32 tahun dikatakan menggunakan mesin berkenaan bagi tujuan pemprosesan karipap sebelum tangan kanannya tersepit ke dalam mesin itu.

Difahamkan wanita terbabit menanggung derita selama satu jam sebelum disedari pekerjanya yang menghubungi pasukan bomba.

Menurut Penyelia Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Ampang Pegawai Bomba Kanan Dua Mohd Kaha Abdul Halim, pihaknya mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan tangan mangsa selepas tiba di lokasi kejadian jam 11.24 pagi.

“Anggota bomba terpaksa menggunakan pengumpil besi dan ‘hydraulic combi tool’ bagi mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit sebelum wanita itu dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Kaha berkata, mangsa hanya cedera ringan.

Menurutnya, punca sebenar kemalangan masih lagi dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 9:28 AM