Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan merangkap Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika hadir  Kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu, Kota Bharu serta sidang media mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Persekutuan menolak saman pemula Mohd. Azizi Abu Naim untuk mendapatkan injunksi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.  FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan merangkap Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika hadir Kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu, Kota Bharu serta sidang media mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Persekutuan menolak saman pemula Mohd. Azizi Abu Naim untuk mendapatkan injunksi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Oleh Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Tidak menyokong calon kerajaan Pusat dalam pilihan raya tidak menjadikan sesebuah kawasan itu mundur disebabkan tidak menerima peruntukan kerana bukan tugas wakil rakyat membuat pembangunan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tidak bermakna apabila pembangkang menjadi wakil rakyat, pembangunan akan tersekat kerana projek memajukan sesuatu kawasan adalah tugas kerajaan Pusat.

"Peruntukan peribadi untuk wakil rakyat (pembangkang) mungkin (kerajaan Pusat) boleh tahan tapi projek-projek pembangunan dalam kawasan, itu tanggungjawab kerajaan (Pusat) dan bukan wakil rakyat.

"Tak bermakna pembangkang jadi wakil rakyat, pembangunan akan tersekat contohnya dulu DAP menang di Cheras, Seputeh, Bukit Bintang malah semua kawasan itu maju dan membangun walau dikuasai DAP sejak dulu yang sebelum ini adalah pembangkang.

"Dalam konteks Kelantan, kita tengok Pengkalan Chepa adalah kawasan PAS, sejak dulu lagi tapi ia antara yang paling maju dengan adanya universiti, lapangan terbang, padang golf dan maktab perguruan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang menyatakan satu kerugian jika pengundi memilih calon pembangkang pada PRK nanti terutama dari segi peruntukan.

Mohd Amar berkata, alasan itu tidak munasabah kerana segala projek pembangunan sememangnya di bawah tanggungjawab kerajaan Pusat dan wakil rakyat hanyalah menyampaikan suara rakyat.

"Jadi alasan itu tidak munasabah sebab wakil rakyat hanya sampaikan suara rakyat dan memastikan kebajikan dijaga, bukan dia (wakil rakyat) yang buat projek," katanya yang ditemui selepas menyampaikan kuliah pagi di Medan Ilmu, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 2:52 PM