Anggota Bomba melakukan pemeriksaan di lokasi yang dipercayai mengalami kebocoran bahan kimia ammonia di kilang pembuatan sarung tangan getah di kawasan perindustrian Bakar Arang. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota Bomba melakukan pemeriksaan di lokasi yang dipercayai mengalami kebocoran bahan kimia ammonia di kilang pembuatan sarung tangan getah di kawasan perindustrian Bakar Arang. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Tidak sampai 24 jam, 21 lagi pekerja kilang pembuatan sarung tangan getah di Kawasan Perindustrian Bakar Arang dikejarkan ke hospital akibat kebocoran bahan kimia (ammonia), hari ini.

Semua mereka mengalami muntah dan sesak nafas akibat kejadian itu.

Kilang itu adalah kilang sama yang menyebabkan 17 pekerja mengalami pedih mata dan pening kepala termasuk seorang daripadanya pengsan akibat terhidu bahan kimia sodium hypochlorite, semalam.

Komander Operasi Kanan Zon 2, Sungai Petani Johari Bar Azwar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.01 pagi hari ini.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani yang diketuai Syamsol Moin bersama 22 anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Johari berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya dimaklumkan ada 21 mangsa dipercayai pekerja kilang itu mengalami sesak nafas dan muntah.

Beliau berkata, kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan lanjut oleh ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) dan EMRS BBP Sungai Petani.

"Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP BBP Kulim Hi Tech tiba di lokasi dan sedang mengenal pasti bahan kimia terbabit serta membuat pengalihan bahan berkenaan.

"Setakat ini operasi masih berjalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan, seorang dilaporkan pengsan, manakala 16 lagi mangsa mengalami pedih mata dan pening kepala akibat tumpahan bahan kimia sodium hypochlorite di sebuah kilang perindustrian di Bakar Arang, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 2:42 PM