GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Seremban: Pembantu ladang dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh adik lelaki kandungnya, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Rohani Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap K Paramasivam, 49, selepas tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan suatu kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki antara jam 11 pagi hingga 1 tengah hari di sebuah ladang kelapa sawit dekat Rantau, di sini, pada Jun 2020.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, peguam Raftfizi Zainal Abidin yang mewakili tertuduh merayu hukuman penjara 30 ke 40 tahun kerana mangsa dalam kes berkenaan adalah adiknya sendiri dan tertuduh tiada niat membunuhnya.

Menurutnya, ketika kejadian tertuduh mengaku dalam keadaan mabuk dan berlaku dengan pantas selain memohon mahkamah mengambil kira tertuduh tiada rekod jenayah.

Raftfizi turut berhujah tempoh penjara maksimum selama 40 tahun memberi pengajaran kepada tertuduh dan jika dibebaskan kelak, tertuduh sudah berusia lebih 80 tahun.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Alauddin Baharom mencadangkan hukuman gantung dikenakan terhadap tertuduh kerana berdasarkan fakta kejadian, tertuduh memanggil adiknya ke ladang kelapa sawit dengan menggunakan alasan petrol.

Beliau berkata, tertuduh memang berniat dan merancang membunuh adiknya selain mengambil kira 13 kecederaan pada keseluruhan badan yang dianggap kejam.

Malah katanya, mayat dibiarkan sehingga berulat di ladang kelapa sawit berkenaan sebelum dijumpai orang awam.

"Saya mohon hukuman mati kepada tertuduh dan hukuman penjara tidak layak untuk tertuduh kerana mangsa adalah adik kandungnya," katanya.

Seramai 21 dipanggil sepanjang memberi keterangan sepanjang tempoh perbicaraan kes sejak 3 April tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 2:56 PM