BOMBA berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO IHSAN JBPM
BOMBA berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO IHSAN JBPM
Erika George


SEORANG bayi lelaki maut dalam kemalangan selepas kereta dinaiki bersama ahli keluarganya bertembung sebuah lori di Batu 24 Jalan Bintulu-Miri, Bintulu, petang semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang, Lewis Logan Aking berusia dua bulan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Bintulu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Mohamad Meramit berkata, mangsa berada dalam kereta jenis Perodua Myvi bersama tiga lagi ahli keluarganya iaitu ibu bapanya berusia 29 dan 36 tahun serta sepupu lelaki yang juga pemandu berusia 31 tahun.

“Semua mereka dalam perjalanan dari Bintulu menuju ke Miri. Bomba terpaksa mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit selama hampir setengah jam menggunakan peralatan khas ‘Hydraulic Rescue Tool’ dan mangsa berjaya dikeluarkan jam 6 petang.

“Ibu bapa bayi juga mengalami kecederaan ringan manakala pemandu lori berusia 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba juga menimbus pasir pada tumpahan minyak akibat kemalangan itu.

“Sembilan anggota dari BBP Bintulu dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki mangsa terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung lori.

“Akibat pertembungan itu, kereta dinaiki mangsa sekeluarga terperosok di penghadang jalan manakala lori pula terbabas ke bahu jalan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudiaan dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat manakala ibu bapanya turut dikejarkan ke hospital sama bagi mendapat rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 10:24 AM