Dakwaan kononnya tanah peneroka FELDA akan tergadai berikutan kejatuhan saham FELDA Global Ventures Holding (FGV) dan disingkirkan dari Bursa Malaysia adalah fitnah.

Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, spekulasi itu sengaja ditimbulkan pihak tertentu bagi menakutkan peneroka tanah rancangan terbabit.

“Tanah milik mereka (peneroka) tidak akan diusik walaupun seinci jika FGV terus merudum, malah kejatuhan saham FGV kini bukan saja dialami FELDA, tetapi semua syarikat perladangan.

“FGV menjadi perhatian ramai berikutan ia berkait dengan FELDA dan ada pihak yang mempunyai kepentingan tertentu bertindak memutar belit kenyataan,” katanya.

Beliau berkata demikian, pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Bola Jaring dan Sambutan Hari Ibu Peringkat Daerah Port Dickson di Kompleks Pentadbiran Port Dickson, semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohd Isa berkata, pihaknya sudah membuat pinjaman untuk membina 20,000 unit rumah untuk generasi kedua melalui projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:20 AM