MOHD Isa (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Muhammad Syahmie.
MOHD Isa (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Muhammad Syahmie.
Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: FELDA melalui Yayasan FELDA akan mencungkil dan menggilap bakat pemain golf melalui Akademik Golf FELDA (AGF) bagi mengetengahkan pemain terutama generasi kedua dan ketiga tanah rancangan terbabit.

Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, AGF sudah mengadakan pemilihan sejak Oktober tahun lalu di enam wilayah FELDA bagi mencari bakat muda dalam kalangan anak dan cucu peneroka.

“Hasil penjelajahan ini, seramai 62 peserta terpilih termasuk 10 pemain wanita menyertai AGF Januari lalu yang dilaksanakan di dua tempat iaitu di A’Famosa Golf Resort Melaka dan Taiping Golf Resort, Perak.

“Hasrat FELDA melahirkan pemain golf profesional dan ahli sukan berlatar belakang pendidikan cemerlang dari generasi baru,” katanya pada sidang media selepas penyampaian hadiah Pertandingan Golf Petunjuk Prestasi Utama (KPI) antara 40 pelajar AGF di Kelab Golf Port Dickson.

Katanya, AGF turut melantik Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) untuk mengurus dan melatih pelajar serta ditawarkan pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan dengan kos ditanggung FELDA.

Pada pertandingan itu, juara milik Muhammad Syahmie Aidi, 18, manakala naib juara Mohd Syafiq Abd Rahman, 18. Abdul Fatah Aqil Hamid, 20, ketiga.

Bagi kategori wanita, Nur Athirah Sa’ari, 19, muncul juara, diikuti Lily Wahidah Abd Wahid, 21, selaku naib juara manakala Nor Fateha Md Dian, 19, ketiga.

Semua hadiah disampaikan Mohd Isa. Hadir sama, Pengerusi AGF Datuk Mohd Isa Abu Kassim dan Naib Presiden Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) Datuk Khairil Anuar Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 5:45 AM