FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

AGROBANK sedia menawarkan pembiayaan perumahan hingga 110 peratus kepada generasi kedua Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di seluruh negara di bawah program Pembiayaan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF).

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, sebagai pembiaya utama program itu Agrobank akan menawarkan pembiayaan hingga 110 peratus dengan kadar pembiayaan pada kadar asas + 1.0 peratus setahun.

"Ini secara tidak langsung membuka peluang lebih ramai peneroka Felda yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan untuk memiliki rumah pertama mereka," katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya ada keinginan yang semakin meningkat untuk pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia, namun ketidakupayaan dari segi kewangan menjadi halangan utama bagi kebanyakan mereka yang berhasrat untuk memiliki rumah terutama bagi golongan yang berpendapatan rendah dalam industri pertanian.

"Oleh itu, kerjasama yang dijalin antara Agrobank dan Felda membolehkan generasi kedua Felda ini memiliki kediaman sendiri tanpa kos permulaan yang membebankan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, selain pembiayaan perumahan di bawah PGBF, pihaknya juga menawarkan pembiayaan keusahawanan dan perladangan melalui Program Pembiayaan Mikro. - Bukan Komoditi dan Program Perladangan - Tanaman Kelapa Sawit dan Getah.

"Ia bertujuan untuk mengembangkan kemampuan dan mengasah pemikiran

keusahawanan di kalangan peneroka Felda dan pada masa sama untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran peneroka di sektor agromakanan, kelapa sawit dan getah.

"Sebagai bank yang memahami industri pertanian, Agrobank komited untuk terus memperkasakan komuniti agro termasuk peneroka Felda melalui program pembiayaan yang unik dan berstruktur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 7:10 AM