TUANKU Abdul Halim bersalaman dengan tetamu sebelum berlepas.
TUANKU Abdul Halim bersalaman dengan tetamu sebelum berlepas.
PESAWAT eksekutif Airbus Corporate Jetliner (ACJ 320) melakukan penerbangan rasmi pertama membawa Tuanku Abdul Halim dengan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim ke Pulau Langkawi.
PESAWAT eksekutif Airbus Corporate Jetliner (ACJ 320) melakukan penerbangan rasmi pertama membawa Tuanku Abdul Halim dengan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim ke Pulau Langkawi.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan menjadi penumpang bagi penerbangan rasmi pertama menggunakan pesawat eksekutif Airbus Corporate Jetliner (ACJ320).

Baginda berangkat dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) ke Pulau Langkawi pada jam 10 pagi, semalam.

Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, perolehan pesawat ACJ 320 itu bagi menggantikan Boeing Business Jet (BBJ) yang berusia 16 tahun dan kini dalam proses pelupusan.

Menurut kenyataan itu, keputusan menggantikan BBJ dibuat pada 2013 berikutan kos penyelenggaraannya semakin meningkat berikutan faktor usia dan risiko keselamatan.

“Pesawat ACJ320 itu tiba di Kuala Lumpur pada 6 Mei 2015 setelah berlepas dari Hamburg, Jerman dan berhenti di Almaty, Kazakhstan selama sejam bagi mengisi bahan bakar.

“Pesawat berkenaan membawa sembilan anak kapal dan dua pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri yang ditugaskan bagi memastikan pesawat yang diterima berada dalam keadaan baik dan menepati spesifikasi perjanjian pembelian,” katanya.

Menurutnya, laluan Hamburg-Almaty-Subang dicadangkan sebagai laluan berdasarkan keadaan cuaca pada masa itu.

“Selain ACJ320, tiga lagi pesawat eksekutif kerajaan adalah ACJ319 yang diperoleh pada 2007 manakala dua lagi pesawat bersaiz lebih kecil iaitu Falcon pada 1989 dan Global Express pada 2001,” katanya.

Pesawat ACJ320 diperuntukkan untuk kegunaan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 7:59 AM