Al-Sultan Abdullah  berkenan memeriksa kawalan kerhormat pada Istiadat Perarakan panji-panji sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda di Dataran Pahlawan, Presint 1, hari ini.
Al-Sultan Abdullah berkenan memeriksa kawalan kerhormat pada Istiadat Perarakan panji-panji sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda di Dataran Pahlawan, Presint 1, hari ini.
BERNAMA

Putrajaya: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, hari ini, berangkat ke istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara di sini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada 8.30 pagi disambut dengan alunan lagu Negaraku, disusuli formasi terbang lintas hormat lima pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), membawa Jalur Gemilang, bendera ATM, Panji Tentera Darat Malaysia (TDM), Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Panji Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diketuai Mejar Mohd Husni Mohd Tarmizi dari TUDM.

Sebanyak 21 das tembakan kehormatan turut dilepaskan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai Leftenan Kolonel Mohammad Asri Che Wil.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya memeriksa perbarisan yang terdiri daripada 57 pegawai dan 862 anggota ketiga-tiga cabang-cabang perkhidmatan ATM diketuai Pegawai Memerintah Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) Leftenan Kolonel Mohd Azamri Abdullah.

Keadaan cuaca mendung sekitar 27 darjah Celcius mengiringi perbarisan yang berlangsung hampir sejam itu yang turut menampilkan acara gabungan Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Muhamad Nor Azizan Yahya dengan persembahan lagu-lagu patriotik.

Usai pemeriksaan barisan, gabungan Pancaragam Pusat ATM masuk membuka medan sekali gus istiadat mengarak lima Panji Yang di-Pertuan Agong menyusul dengan penuh istiadat ketenteraan dalam tempo kawad perlahan dan cepat.

Lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong diarak ialah Panji-Panji Rejimen Askar Melayu, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Panji-Panji Tentera Udara Diraja Malaysia.

Panji-Panji adalah suatu penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen/Kor dari Perkhidmatan Tentera Darat, Perkhidmatan Tentera Laut dan Perkhidmatan Tentera Udara.

Istiadat diakhiri dengan laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan dan bacaan doa yang dipimpin Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai.

Al-Sultan Abdullah sekali lagi menerima lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM sebelum Seri Paduka berdua berangkat meninggalkan majlis itu pada 9.30 pagi.

Turut hadir ke istiadat berkenaan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Istiadat berkenaan diadakan tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong iaitu bagi tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 10:31 AM