PEMAIN BBJ FC meraikan kejayaan mereka..
PEMAIN BBJ FC meraikan kejayaan mereka..
Oleh Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Selepas mencipta nama dalam kejohanan futsal di negeri ini, Kelab Belia Benci Jenayah (BBJ) FC kini menyimpan cita-cita melebarkan sayap menyertai kejohanan peringkat lebih tinggi di negara ini.

Presiden BBJ FC Muhammad Yusridza Yusoff berkata, kelab itu kini mempunyai 40 remaja yang beraksi dalam kategori B-16 tahun, berpusat di gelanggang Futsal Beladau Kepong, Kampung Padang Midin, di sini.

Menurutnya, kelab yang ditubuhkan sejak lima tahun lalu itu bukan hanya tertumpu kepada kejohanan futsal semata-mata, malah turut membabitkan diri dalam aktiviti keagamaan dan amal.

“Kami memiliki lima pasukan membabitkan Real BBJ, Titans BBJ, Young BBJ, Warrior BBJ dan BBJ Kids dengan misi utama menyertai lebih banyak kejohanan besar tahun depan.

“Matlamat utama kelab ini ditubuhkan bagi mengelak remaja membabitkan diri dalam gejala tidak sihat selain mengetengahkan bakat berpotensi ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Muhammad Yusridza berkata, penubuhan kelab itu juga bertujuan memberi pendedahan terhadap kemahiran sukan futsal terutama remaja.

Menurutnya, pihaknya turut menganjurkan beberapa kejohanan tahun ini seperti BBJ Futsal Battle B-15, Kejohanan Futsal PKMIZN (B-14), Futsal Revolution (B-15) dan BBJ Challenge (B-15).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 5:14 AM