Arshad  (depan lima dari kiri) bersama graduan sempena Konvokesyen ke-82 UiTM Melaka.
Arshad (depan lima dari kiri) bersama graduan sempena Konvokesyen ke-82 UiTM Melaka.
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Seramai 2,182 graduan yang bergraduasi sempena Istiadat Konvokesyen ke-82 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka di Dewan Taming Sari, kampus Alor Gajah, di sini, selama dua hari bermula semalam.

Difahamkan, 531 graduan dari Fakulti Pengurusan Perniagaan iaitu 100 penerima ijazah Sarjana Muda dan 431 penerima diploma yang disampaikan Pro Canselor UiTM, Tan Sri Datuk Seri Utama Dr Arshad Ayub.

Arshad dalam ucapan perasmiannya berkata, istiadat konvokesyen UiTM itu berlangsung dalam 15 sidang di kampus induk Shah Alam, Pulau Pinang (2), Pahang (3), masing-masing empat di UiTM Perak, Sarawak dan Melaka serta lima di UiTM Perlis dan Terengganu.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, 24,395 graduan terbabit dalam graduasi kali ini yang akan memenuhi keperluan tenaga kerja profesional dalam pelbagai bidang dan agensi.

Katanya, graduasi di UiTM Melaka ini adalah yang keempat selepas kampus berkenaan menerima status autonomi.

Beliau berkata, pembinaan kampus baru UiTM di seluruh negara termasuk di kampus Jasin membolehkan UiTM menampung lebih 200,000 pelajar.

“Pada 2015, UiTM Melaka membabitkan tiga kampus iaitu Alor Gajah, Jasin dan Kampus Bandaraya Jalan Hang Tuah yang mempunyai kapasiti 15,707 pelajar.

“Kos pengajian rendah selain sistem akademik berkualiti diperlukan dalam pasaran kerja ditawarkan UiTM, membolehkan setiap kampus mendapat tempat di hati ibu bapa dan pelajar memilih Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berkenaan.

“Pada 2014 UiTM diberi pengiktirafan sebagai Badan Penilai Dunia QS Ranking International, apabila diiktiraf dalam ranking 661-700 IPT berbanding ranking ke 701 sebelum ini,” katanya.

Arshad berkata, pelan induk penyelidikan dan pembangunan 2011-2015 yang memfokuskan kepada penyelidikan muda serta meneroka geran penyelidikan kebangsaan, antarabangsa dan swasta dalam tempoh lima tahun, ternyata berjaya membolehkan mereka memperoleh geran RM276 juta bagi membiayai 3,000 kajian dan penyelidikan.

Malah UiTM juga melakar kejayaan di peringkat antarabangsa apabila Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI) dinobat sebagai penerima anugerah penyedia pendidikan kewangan Islam terbaik 2014 sempena anugerah kewangan Islam Global (GIF) di Dubai Emeriyah Arab Bersatu baru-baru ini.

Sementara itu, graduan Diploma Pengurusan Bank Nur Farah Ain Nazlin, 22, yang menerima Anugerah Naib Canselor (ANC) berkata, dia sentiasa fokus dalam sesi pembelajaran kelas dan mengadakan perbincangan bersama rakan-rakan antara faktor kejayaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 5:01 AM