GELAGAT  graduan UiTM berselfie selepas terima ijazah masing-masing.
GELAGAT graduan UiTM berselfie selepas terima ijazah masing-masing.

Alor Gajah: Seramai 3,042 graduan menerima Ijazah Pertama dan Diploma sempena Istiadat Konvokesyen ke-81 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka di Dewan Taming Sari, Kampus Alor Gajah, Lendu, di sini, semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 263 graduan menerima Anugerah Naib Canselor (ANC) selepas cemerlang berikutan memperoleh anugerah dekan bagi setiap semester pengajian.

Majlis penganugerahan disempurnakan Naib Canselor UiTM, Prof Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Naib Canselor Akademik UiTM, Profesor Dr Azni Zain Ahmed.

Rektor UiTM Melaka Prof Madya Dr Mohd Adnan Hashim berkata, majlis konvokesyen bermula semalam hingga esok membabitkan pelajar jurusan Pengurusan Pelancongan, Komunikasi dan Media, Farmasi, Seni Lukis dan Seni Reka serta Diploma Fotografi.

“Antara jurusan lain termasuk Diploma Seni Halus, Pentadbiran Awam, Sains Komputer, Pengajian perniagaan dan Pengajian Perniagaan serta Pengurusan Ladang.

“Seramai 1,177 menerima Ijazah Pertama terdiri daripada Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan Pelancongan, Seni Lukis dan Seni Reka serta Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pada sidang pertama membabitkan 521 penerima Ijazah Pertama dan Diploma diikuti sidang kedua (519) dan ketiga (490) Sidang ke empat (520), sidang kelima (500) dan keenam (492).

Sementara itu, majlis berkenaan amat bersejarah buat Dr Mohd Adnan kerana anak keduanya Arisha, 21, turut menerima ANC yang disampaikan Dr Azni pada sidang pertama.

Arisha yang juga graduan Diploma Komunikasi Media berkata, galakan daripada bapa dan ibunya, Hayati Abdul Hamid, membakar semangatnya untuk berjaya dalam pengajian di kampus berkenaan.

“Saya tidak pernah mengambil kesempatan walaupun bapa tokoh akademik sebaliknya sentiasa tekun mengikuti sesi pengajian disamping turut berkongsi idea dan pandangan berkaitan kursus dipilih,” katanya.

Dalam pada itu, rakannya, Jihan Hasnan, 21, yang turut penerima ANC berkata, kejayaan meraih anugerah dekan berdasarkan fokusnya di dalam dan luar kelas selain aktif dalam bidang ko-kurikulum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 8:11 AM