DR Hassan
DR Hassan
Fazurawati Che Lah


Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus unggul dan menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun lalu dalam Penarafan Universiti Dunia QS 2018, (QS World University Rankings 2018, QSWUR 2018) bagi kategori Academic Peers Reputation, Employer Reputation dan Citation per Staff.

Menurut laporan QS 2018 itu lagi, prestasi UiTM adalah dalam kalangan 77 peratus terbaik oleh penarafan dunia berkenaan.

Menurut Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Hassan Said, terdapat kira-kira 26,000 universiti di seluruh dunia, pencapaian ini sekali gus melonjak UiTM untuk menjadi antara universiti yang tergolong di dalam 2.8 peratus universiti terbaik di dunia.

“Ketampakan akademik UiTM menunjukkan peningkatan yang amat ketara lantaran hubungan baik institusi ini dengan ahli akademik lain di seluruh dunia melalui kerjasama penyelidikan, persidangan dan pertukaran pelajar.

“UiTM juga kini semakin menjadi pilihan utama pihak akademik yang ingin menjalin kerjasama dalam bidang kepakaran penyelidikan mereka,” katanya.

Menurut beliau, peningkatan dalam aspek Reputasi Majikan (Employer Reputation) pula satu lagi pencapaian bersejarah buat UiTM.

Katanya, sebagai sebuah Universiti Komprehensif yang kini menempatkan lebih daripada 165,000 pelajar, UiTM yakin pelajar yang diasuh dengan berpaksikan visi dan misi UiTM, iaitu menghasilkan graduan Bumiputera holistik lagi seimbang akan mampu memenuhi tuntutan pasaran pekerjaan tempatan serta global.

Jelasnya, graduan UiTM juga sentiasa diberi penekanan kepada inovasi dalam keusahawanan yang seterusnya akan mampu untuk menjadi pencipta kerjaya pada masa depan.

“Dengan kekuatan lebih 650,000 alumni, UiTM sentiasa komited untuk memperkukuh penglibatkan golongan ini bagi menyokong pengukuhan indikator Reputasi Akademik (Akadamic Reputation) melalui sesi percambahan idea bersama peneraju industri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam projek akademik, penyelidikan, latihan industri dan pengembangan bakat graduan.

“Melalui pendekatan hubungan strategik ini, pihak industri akan dapat memberikan maklum balas dan input secara langsung kepada pembangunan akademik UiTM.

“Hal ini dapat menghasilkan kurikulum yang lebih dinamik dalam usaha melahirkan profesional Bumiputera yang akan mengisi pelbagai bidang kritikal di peringkat nasional dan mempertingkatkan penyertaan golongan itu dalam ekonomi Malaysia,” katanya.

Tegas Hassan lagi, kebanyakan graduan UiTM terus ditawarkan pekerjaan selepas menjalani latihan industri oleh pihak sektor swasta dan kerajaan.

Katanya, rata-rata majikan amat memuji graduan UiTM sebagai tenaga kerja yang fleksibel dan serba boleh serta memiliki ciri graduan menjadi rebutan majikan masa kini.

Jelasnya, pencapaian UiTM pada 2017 dalam kriteria Reputasi Akademik dan Reputasi Majikan menunjukkan UiTM berada di landasan yang betul dalam usaha melahirkan graduan Bumiputera bertanggungjawab serta dilengkapi kemahiran diperlukan bagi mendepani cabaran abad ke-21.

“Pencapaian ini amat penting kepada UiTM kerana ia sekali gus akan diterjemahkan kepada peningkatan dalam peratusan kebolehpasaran graduan.

“Keyakinan majikan dan ahli akademik terhadap UiTM ini seterusnya akan mampu melonjakkannya ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 1:21 PM