Kuala Lumpur: Majoriti kematian tahanan di dalam lokap polis di negara ini berpunca akibat penyakit berbahaya dijangkiti tahanan.

Laporan itu sekali gus menolak tuduhan liar sebelum ini kononnya tahanan mati didera anggota polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, sebanyak 51 kes kematian dalam tahanan polis direkodkan sepanjang tempoh lima tahun bermula 2010.

Menurutnya, hanya satu kes kematian berpunca akibat dicederakan polis dan anggota berkenaan sudah didakwa di mahkamah.

“Hampir 95 peratus daripada kes kematian dalam lokap polis berpunca daripada penyakit HIV, enam sakit jantung, lima kes bunuh diri dan 38 kematian akibat penyakit lain seperti asma, hati, ulser dan paru-paru.

“Disebabkan itu, kami menerima syor dan cadangan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) untuk melatih anggota dan pegawai yang bertanggungjawab ke atas tahanan supaya lebih peka bagi mengelakkan kes kematian berulang,” katanya pada sidang media selepas Sesi Dialog Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama SIAP di Bukit Aman, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 8:59 AM