MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Viu Keong (kanan) diberi penerangan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador (kiri) ketika melawat kediaman anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Kem Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras hari ini.
 FOTO BERNAMA
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Viu Keong (kanan) diberi penerangan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador (kiri) ketika melawat kediaman anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Kem Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras hari ini.
 FOTO BERNAMA
Muhaamad Hafis Nawawi


SEBANYAK 756 lokap di seluruh negara akan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau isu keselamatan tahanan dalam memantapkan integriti pihak berkuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, pemasangan membabitkan kos RM73 Juta itu dijangka selesai hujung tahun ini.

Menurutnya, pemasangan CCTV turut akan dibuat di lokap mahkamah, namun peruntukan itu berasingan dengan CCTV lokap.

“Bajet pemasangan CCTV ini diluluskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) yang berlangsung di Putrajaya semalam bagi mengetahui kejadian yang berlaku ketika seseorang itu berada dalam tahanan.

“Bagi lokap di mahkamah pula, kita difahamkan hakim dan pegawai melalui jalan yang sama dengan tahanan.... jadi keselamatan menjadi isu yang perlu ditekankan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat berek polis Bahagian Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff.

Vui Keong berkata, kerajaan turut meluluskan peruntukan berjumlah RM100 juta bagi membaik pulih lif pejabat dan kuarters polis di seluruh negara.

“Kerja membaik pulih lif membabitkan 210 kuarters dan pejabat akan dilakukan sebaik pihak kontraktor terima surat perlantikan hujung bulan ini,” katanya

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, tiada bantahan daripada pihaknya berhubung pemasangan CCTV di lokap.

“Anak-anak buah saya terdedah kepada fitnah sedangkan banyak kes kematian dalam lokap berpunca daripada penyakit yang dihidap tahanan sendiri.

“Saya percaya dengan adanya CCTV ini anak buah saya dapat elak daripada tohmahan sekali gus menjalankan tugas dengan lebih sempurna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 1:10 PM