Kota Bharu: Lebih seminggu berkempen, calon Bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka mengakui sukar mengikis sentimen pro-PAS dalam kalangan pengundi di DUN berkenaan.

Namun, usaha keras terus dijalankan mengikut cara masing-masing dengan kebanyakan mereka mengambil pendekatan mendekati pengundi dari rumah ke rumah atau kedai kopi.

Sharif Mahmood yang menggunakan lambang gajah berkata, dia percaya pendekatan itu membolehkan pengundi mengenalinya yang bukan anak jati kawasan itu.

“Saya sedar banyak kampung di DUN Chempaka adalah kawasan dominan PAS tetapi saya tidak berputus asa untuk melakukan kempen dari rumah ke rumah ataupun singgah di mana-mana kedai kopi tempat orang ramai berkumpul.

“Hanya dengan cara itu saya akan dikenali dan mengenali pengundi. Jika ada mengatakan saya calon luar kawasan itu sebenarnya tidak penting kerana saya juga anak Kelantan yang berjuang untuk melakukan perubahan di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, jika mahu dibandingkan usaha membawa masalah rakyat kepada pengetahuan kerajaan, beliau mengakui mempunyai kelebihan itu berbanding calon lawan dan berharap pengundi menilai aspek berkenaan.

Dia turut mengaku sedih melihat beberapa kawasan dalam DUN Chempaka terutama penempatan nelayan yang masih daif dan kurang pembangunan termasuk jalan yang tidak diselenggara dengan baik.

“Saya bertekad mahu memastikan kebajikan rakyat di sini terbela jika terpilih,” katanya.

Misi sama juga dilaksanakan seorang lagi calon Bebas Fadzillah Hussin yang bertanding menggunakan lambang kunci aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NG0) di Kelantan.

Katanya, dia tidak akan sesekali meniru pendekatan ‘menyogok’ pengundi dengan barangan atau wang ringgit, sebaliknya lebih kepada menjelajah seluruh kampung menggunakan lori berhias.

“Saya juga mengedarkan borang kepada pengundi untuk mereka meluahkan masalah dan keluhan. Dengan cara itu, saya boleh bantu mereka panjangkan masalah dihadapi kepada pihak berkaitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:31 AM