Kota Bharu: Meskipun mengakui berseorangan dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chempaka, Aslah Mamat yang bertanding Bebas sempat memberitahu dia ada bantuan ‘jentera ghaib’.

Aslah, 64, berkata, dia yakin mampu mendekati pengundi sepanjang tempoh berkempen walaupun tidak diiringi jentera hebat.

“Saya hanya mahu mengubah pandangan orang ramai mengenai senario politik di negeri ini saja. Bertanding bukan kerana mahukan kemenangan tetapi saya ingin mesej mengenai pemimpin yang baik sampai kepada pengundi.

“Untuk itu saya pilih slogan ‘Mari Kita Berpakat’ kerana dengan kesepakatan semua perkara menjadi baik,” katanya yang turut memberitahu mempunyai ‘kelebihan’ dalam berceramah boleh menarik perhatian pengundi.

Sementara itu, ahli perniagaan, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang sebelum ini sudah dua kali hilang wang pertaruhan selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum dan PRK Pengkalan Kubor lalu mencuba nasib sekali lagi untuk bertanding di DUN Chempaka.

Beliau yang berusia 48 tahun berkata, tidak serik bertanding dalam pilihan raya sebaliknya menganggap itu satu pengorbanan.

“Saya anggap ini pengorbanan dalam perjuangan sebagai ahli politik bebas walaupun berdepan risiko hilang wang pertaruhan,” katanya.

Bagi satu-satunya calon wanita, Fadzillah Hussin, 55, memilih kunci sebagai lambang diwakilinya kerana ia kunci kepada semua perkara.

Objektifnya bertanding kerana mahu menyatupadukan ummah dan menggunakan platform itu untuk bersuara memandangkan beliau turut aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 8:04 AM