ASLAH
ASLAH
Oleh Adnan Mohamad

Kota Bharu: Calon bebas paling senior, Aslah Mamat, 64, menganggap media sebahagian daripada ‘jentera ghaibnya’ ketika berkempen.

“Saya tak ada ‘jentera’ macam orang lain. Buat masa ini, saya dibantu seorang teman merangkap pengawal peribadi saya.

“Jadi apa saja berita mengenai saya yang keluar di media, saya anggap itu sebahagian ‘kempen’ saya,” katanya yang kini menyewa bilik hotel di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka bagi memudahkan urusannya berkempen.

Aslah yang membahasakan dirinya Pak Lah berharap media akan mendekatinya dalam usaha untuk ‘mempromosikan’ dirinya dalam kalangan pengundi DUN itu.

Bagaimanapun dia turut menggerakkan kempen dengan berceramah dalam kelompok kecil, selain memasang kain rentang di beberapa kampung termasuk Cabang Tiga Pengkalan Chepa, Kemumin, Kampung Parang Puting, Tebing Tinggi dan perkampungan nelayan, Pantai Anak di sini.

Aslah menafikan dirinya ditaja pihak tertentu untuk bertanding, sebaliknya menegaskan mahu menjadi pemimpin yang membela nasib rakyat.

“Saya bertanding atas kehendak saya dan setakat ini saya berpuas hati dengan cara saya berkempen walau tidak sehebat orang lain.

“Ceramah pertama saya di Kampung Pulau Gajah dan saya akan terus mendekati pengundi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:32 AM