WARGA Myanmar ditahan  Polis Marin  Pelabuhan Klang yang menjalankan rondaan dalam Ops Tango Papa.
WARGA Myanmar ditahan Polis Marin Pelabuhan Klang yang menjalankan rondaan dalam Ops Tango Papa.

Pelabuhan Klang: Anggapan dua lelaki warga asing bahawa bekerja di laut lebih ‘selamat’ walaupun tidak memiliki permit sah ternyata meleset apabila ditahan polis di perairan Tanjung Karang, Kuala Selangor, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, dua lelaki warga Myanmar berusia 33 dan 38 tahun ditahan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang yang menjalankan rondaan dalam Ops Tango Papa.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, pada mulanya anggota PPM menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah bot menangkap ikan yang didapati dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pengendali bot berkenaan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun menangkap ikan menggunakan pukat hanyut di kawasan tidak dibenarkan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki yang bekerja sebagai awak-awak tidak memiliki dokumen perjalanan sah selain permit bekerja di laut.

“Pengendali bot juga ditahan untuk diambil keterangan kerana melanggar syarat dalam lesen iaitu menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, bot yang digunakan dibawa ke Markas PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut dan dua lelaki warga asing terbabit ditahan kerana menyalahi undang-undang mengikut Akta Imigresen.

Menurutnya, pengendali bot ditahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 manakala warga asing terbabit ditahan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:29 AM