Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Puteh: Kerajaan akan membina pusat pemindahan sementara (PPS) kekal di lokasi yang sentiasa terkesan banjir di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa Bencana Pusat yang dipengerusikannya memandangkan terdapat lokasi sering dilanda banjir.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah pendekatan sepanjang masa bagi lokasi yang sering terdedah banjir selain dapat dimanfaatkan oleh semua.

"Selepas mengetahui keadaan banjir di kawasan tertentu, Jawatankuasa Bencana Pusat memutuskan supaya mewujudkan PPS kekal.

"Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bahawa melalui peruntukan yang kita akan peroleh nanti, akan didirikan PPS kekal di jajahan atau kawasan yang sering dilanda banjir. Perkara ini terpakai di seluruh negara.

"Terdapat dua pilihan sama ada menggunakan kawasan sekolah yang sering dijadikan PPS dengan membina dewan khas selain tanah kosong yang dikenal pasti oleh kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Jelor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri dengan bantuan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) akan mengenal pasti kawasan berkenaan.

"Dari segi peruntukan kerajaan akan salurkan. Dengan adanya PPS kekal ia dapat dimanfaatkan sepanjang masa dan sebagai contoh dewan dalam sekolah, ia boleh digunakan oleh pihak sekolah ketika di luar musim banjir," katanya.

AHMAD Zahid  menyampaikan sumbangan kit makanan kepada mangsa banjir  ketika hadir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelor. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
AHMAD Zahid menyampaikan sumbangan kit makanan kepada mangsa banjir ketika hadir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelor. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 6:14 PM