KERANDA mangsa nahas diusung masuk ke dalam pesawat Charlie CN-295 milik Angkatan  Udara Indonesia.
KERANDA mangsa nahas diusung masuk ke dalam pesawat Charlie CN-295 milik Angkatan Udara Indonesia.

Pangkalan Bun: Lapan mayat nahas pesawat QZ8501 yang dihantar ke Hospital Sultan Imanuddin di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam, hampir reput berikutan sudah terendam lama di laut.

Orang ramai yang mengunjungi hospital berkenaan terpaksa menutup hidung disebabkan bau mayat amat menusuk.

Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati, petugas hospital memakai penutup hidung gigih membersihkan katil pengusung yang menjadi tempat lapan mayat dibaringkan sebelum ditolak ke bilik mayat untuk urusan lanjut

Sementara itu, setakat jam 12.45 tengah hari semalam, 12 lagi mayat diterbangkan ke Surabaya termasuk empat mayat tiba di Pangkalan Bun kelmarin dan lapan lagi mayat pagi semalam.

Leftenan Komander Laut Amerika Syarikat Greg Adams berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan pemindahan 12 mayat dari kapal USS Sampson ke Lapangan Terbang Iskandar.

“Keadaan cuaca menjadi faktor utama bagi kejayaan pencarian mayat dan barang berkaitan nahas pesawat Air Asia Indonesia ini. Cuaca buruk akan menghalang tugas mencari dan menyelamat (SAR).

“Selain kapal USS Sampson, sebuah lagi kapal perang kami iaitu USS Fort Worth juga menyertai pasukan SAR pagi ini (semalam). Tiga helikopter Seahawk turut membantu,” katanya.

Beliau berkata, misi SAR berkenaan dijalankan pihaknya dengan kerjasama rapat Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia bagi memastikan ia berjaya.

Dalam kejadian Ahad lalu, pesawat Airbus A 320-200 yang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura membawa 162 orang dilaporkan hilang daripada radar jam 6.18 pagi (waktu tempatan).

Sehingga jam 1.30 petang semalam, 30 mayat sudah ditemui selain beberapa barang berkaitan pesawat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 6:59 AM