ANGGOTA tentera Indonesia (kiri) dan pasukan penyelamat tiba bersama barang milik penumpang penerbangan QZ8501 di Pangkalan Bun, semalam.
ANGGOTA tentera Indonesia (kiri) dan pasukan penyelamat tiba bersama barang milik penumpang penerbangan QZ8501 di Pangkalan Bun, semalam.

Surabaya: “Kubur sudah digali dan proses persiapan untuk mengebumikan anak saya juga sedang diusahakan,” itu reaksi ibu kepada Hayati Lutfiah Hamid sebaik dimaklumkan identiti jenazah pertama itu adalah anaknya.

Dia yang sempat ditemui media di pekarangan Pusat Krisis di Hospital Bhayangkara itu semalam turut memberitahu sudah dimaklumkan pihak berkuasa mengenai jenazah anaknya.

Menurutnya, ahli keluarga mereka di Sidoharjo juga sedang menyiapkan kubur dan urusan pengebumian.

“Saya harap akan menerima jenazahnya secepat mungkin.

“Bagaimanapun, anak saya ke Singapura tidak berseorangan sebaliknya bersama suami, Joko Suseno dan anaknya, Naura Kanita Rosade Suseno bersama ibu mentuanya, Soemanik Saeran,” katanya kepada media semalam.

Beliau berkata, dia berharap mereka yang lain juga akan ditemui dalam masa terdekat dan dia menerimanya dengan tabah apa yang berlaku.

Sementara itu, Ketua Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan pihaknya mengesahkan salah seorang daripada dua jenazah yang tiba kelmarin adalah Lutfiah.

Menurutnya, pihaknya mengenal pasti mangsa melalui kesan cap jari selain rantai leher yang tertera namanya dan kad pengenalan turut ditemui.

“Bagaimanapun jenazah lelaki yang dibawa kelmarin masih belum dapat disahkan identitinya kerana data yang ada tidak sepadan dengan mangsa.

“Apa yang kita lihat mangsa berketinggian 145 hingga 150 sentimeter (SM) dan mungkin ada perubahan ketinggian kerana faktor ia terendam di dalam air,” katanya.

Beliau berkata, mangsa juga mempunyai tahi lalat di atas bibir sebelah kiri dan mereka sedang berusaha keras mengenal pasti identitinya.

Harian metro semalam melaporkan tiga daripada tujuh jasad penumpang dan kru pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang ditemui sudah dikenal pasti identitinya.

Mereka adalah dua penumpang, Hayati Lutfiah dari Tegalsari, Surabaya dan Kevin Alexander Soetjipto dari Malang, manakala seorang lagi pramugari, Khairunisa Haidar Fauzi, 22.

Menurut Komandan KRI Bung Tomo Kolonel Yayan, tiga jasad berkenaan masih berada di kapal perang KRI Bung Tomo manakala dua jasad lagi sudah dihantar ke Pangkalan Bun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 9:50 AM