Pangkalan Bun: Duka menjelang tahun baru 2015.

Itu yang boleh dikatakan apabila melihat Lapangan Terbang Iskandar, semalam, sibuk selepas jasad dan serpihan pesawat Air Asia Indonesia QZ8501 yang hilang Ahad lalu ditemui di sekitar perairan Selatan Selat Karimata, di sini, kelmarin.

Tinjauan Harian Metro yang tiba kira-kira jam 4.30 petang (waktu tempatan) semalam mendapati suasana lapangan terbang ini sibuk dengan aktiviti penerimaan jasad dan serpihan bangkai pesawat itu.

Pusat media turut dibuka berhampiran lokasi bagi memudahkan wartawan tempatan dan antarabangsa melaporkan situasi terkini operasi mencari dan menyelamat (SAR) nahas di Laut Jawa membabitkan Airbus A-320-200 itu.

Pasukan SAR antaranya terdiri daripada Tentera Nasional Indonesia (TNI), Badan SAR Nasional (BASARNAS), Polis Air serta lain-lain agensi.

Tinjauan mendapati aset pasukan SAR seperti pesawat, helikopter, ambulans dan lori keluar masuk lapangan terbang ini untuk melaksanakan tanggungjawab.

Tanda tanya kehilangan pesawat QZ8501 akhirnya terjawab apabila ia disahkan jatuh di perairan kawasan ini selepas tiga hari pencarian.

Pesawat dilaporkan hilang dari isyarat radar Menara Kawalan Udara (ATC) jam 6.18 pagi waktu tempatan, Ahad lalu.

Ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura itu, pesawat berkenaan membawa 162 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 8:16 AM